BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, 26 November 2011

BICARA BAHASA

Indah Budi kerana Bahasa

Bahasa ,baik rasmi mahupun tidak rasmi , secara umumnya dapat dibahagikan kepada tiga tingkat utama , iaitu bahasa halus , bahasa kasar , dan bahasa kesat .
     Bahasa halus ialah bahasa yang leih lembut yang digunakan untuk menggantikan perkataan tertentu yang dirasakan kasar atau menyentuh perasaan orang lain . Bahasa halus juga merupakan bahasa yang digunakan dengan penuh hormat , sopan santun dan beradab. Bahasa ini perlulah digunakan terutamanya ketika berkomunikasi dengan orang  yang dihormati , seperti ibu bapa dan guru, serta pemimpin dan orang yang lebih tua , baik dalam pertuturan , mahupun penulisan .
    Bahasa kasar pula ialah bahasa yang tidak sopan dan tidak manis dituturkan dan digunakan , apatah lagi dalam situasi rasmi . Bahasa ini hanya boleh  digunakan dalam situasi tertentu dan dengan orang yang tertentu , seperti semasa berhubungan antara dua atau lebih teman karib dan setaraf , serta dalam suasana tidak rasmi ,bersifat peribadi , dan tanpa kehadiran pihak atau oran ketiga .
    Satu lagi bentuk bahasa , iaitu bahasa kesat ialah tinkatan bahasa yang paling rendah yang tidak boleh digunakan sama sekali , baik dalam situasi tidak rasmi mahupun rasmi  . Bahasa ini apabila digunakan , sangatlah menyakitkan apabila mendengarnya . Biasanya , bahasa ini digunakan oleh orang yang sedang marah dan tidak tidak dapat mengawal perasaannya,serta untuk menghina seseorang .
   Daripada tiga peringkat bahasa itu , bahasa haluslah yang seharusnya digunakan,dan dibiasakan pengunaannya . Untuk membiasakan penggunaannya , perlulah dilatih seawal usia kanak-kanak mula belajar berbicara bersama ibu bapa di rumah . Sedar atau tidak , kita sebenarnya berada dalam "krisis" penggunaan bahasa halus . Lihat sahaja apabila setiap kali tibanya musim kempen pilihan raya , macam-macam pekataan yang tidak "sedap" didengar dihamburkan sesuka hati . Begitu juga halnya dalam Persidangan Dewan Rakyat yang dipertontonkan di layar televisyen .
   Ketinggian budi bahasa dan kehalusan penggunaan bahasa perlulah ditonjolkan kembali sebagaimana yang pernah diamalkan oleh masyarakat melayu lama , terutamanya dalam penulisan pantun, syair , peribahasa dan simpulan bahasa . Penggunaan bahasa kasar dan kesat yang boleh merosakkan bangsa perlulah dijatuhi atau dihindarkan sama sekali .

Bahasa Dijunjung ,Bangsa Disanjung .